Ikan Tamok?
Nama saintifik bagi ikan ini ialah Ellochelon vaigiensis. Dikenali sebagai Tamok(Bahagian Selatan Semenanjung Malaysia), dan Loban(Bahagian Utara Semenanjung Malaysia). Ramai yang beranggapan bahawa ikan ini merupakan ikan yang sama bagi spesis ikan Belanak. Mitos yang mengatakan ikan Tamok adalah ikan Belanak yang telah berubah saiz menjadi besar adalah tidak benar. Bentuk fizikal kedua-dua spesis ini berbeza dan dapat dilihat dengan jelas pada bentuk ekor, warna ekor, bentuk badan, dan bahagian kepala. Kebiasaannya, spesis ini akan bergerak di dalam kumpulan untuk mencari makanan. Tetapi, ada kalanya ikan ini dilihat secara berpasangan, atau bergerak secara solo.
Spesis ini merupakan spesis ‘underrated’ yang sering dipandang sepi oleh kebanyakan para pemancing. Mungkin kerana rupanya yang terlihat tidak sekuat ikan lain seperti ikan Siakap(sekadar contoh), kelihatan jinak dan lembut ketika mengutip roti di permukaan air. Tetapi, sekiranya ditanya kepada sekumpulan kecil pemancing di Malaysia yang memburu ikan ini, lain pula jawapan yang anda akan terima. Pemburu Tamok @ Tamok Hunters lazimnya akan memburu ikan ini secara komited dan berdedikasi, dan ada kalanya ditertawakan kerana menggunakan roti sebagai umpan untuk memancing ikan di pantai. Ramai yang tidak percaya apabila dikatakan spesis ini mempunyai daya juang yang sangat tinggi, stamina yang kuat, dan mampu memutuskan tali pancing, mematahkan rod, dan membengkokkan serta mematahkan mata kail. Tak kenal maka tak cinta. Sekali anda terjebak dalam kancah pancingan Tamok, maka tiada jalan pulang untuk anda.
Habitat dan Diet
Spesis ini boleh dijumpai di pesisiran pantai berpasir dan berbatu, muara sungai, dan di kawasan kelong, rumah rakit, dan jeti. Diet spesis ini ialah mikroorganisma air yang kecil seperti udang kecil, alga, dan juga plankton. Antara lokasi yang menjadi tumpuan pemancing Tamok ialah: Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Ban Pecah di Perak, Pulau Bunting di Kedah, Port Dickson di Negeri Sembilan, dan di Kuala Pahang, sekadar menamakan beberapa lokasi sahaja.
Teknik Memancing
Ada segelintir pemancing yang mengatakan bahawa spesis ini tidak memakan umpan, dan hanya boleh ditangkap menggunakan jaring dan jala sahaja. Tanggapan ini tidak salah, kerana ikan Tamok merupakan spesis ikan yang sangat cerewet dan pandai memilih umpan, dan inilah sebab utama kenapa tidak ramai yang sanggup dan gemar untuk memancing ikan Tamok kerana tidak tahu teknik yang sesuai.
Saya mula terjebak dalam arena pancingan ikan Tamok sekitar tahun 2014 secara tidak sengaja. Niat awal untuk membeli barang pancing akhirnya bertukar menjadi sesi meracun dan dipendekkan cerita sehingga sekarang saya masih belum jumpa jalan pulang. Terima kasih saya ucapkan kepada guru merangkap sahabat saya Encik Hamidi Mahat kerana sudi berkongsi ilmu beliau kepada saya ketika itu sehinggalah sekarang.
Cara yang paling mudah untuk belajar memancing ikan Tamok ialah dengan belajar sendiri secara praktikal dengan mereka yang pakar. Ingin saya jelaskan sekali lagi, ikan Tamok merupakan antara spesis yang sukar untuk dipancing.
Terdapat banyak teknik dan gaya untuk memancing ikan Tamok, bergantung pada kawasan/negeri. Saya akan pecahkan bahagian ini kepada beberapa bahagian kecil supaya lebih mudah untuk difahami.
Peralatan Set Memancing yang sesuai
Untuk set memancing, set Ultralight dan Light sangat sesuai digunakan kerana kita perlu sentiasa memegang rod ketika memburu spesis ini. Saya menggunakan dua set iaitu set Ultralight dan Ultralight:
Set Light:
Rod: Daiwa Acculite 2-8lb 9’ 6”
Reel: Shimano Stradic CI4+ 1000FA
Mainline: Berkley Trilene XL Armor Coated 6lb
Leader: Berkley Vanish 6lb
Set Ultralight:
Rod: Kanicen Nix Sailang 2-6lb 6’ 6”
Reel: ABU Cardinal 33
Mainline: Kanicen Nix Braided 4lb Prototype
Leader: Berkley Vanish 6lb
Berkenaan rod, saya dapati rod yang panjangnya kira-kira lebih dari 7 kaki dan ke atas lebih sesuai digunakan. Ini kerana rod yang lembut dan panjang memudahkan kita melontar umpan roti supaya tidak mudah tertanggal dari mata kail. Selain itu, rod yang panjang dapat mengelakkan tali dari terputus terkena batu dan teritip ketika ikan sedang membuat larian menyelamatkan diri selepas menyambar umpan. Antara sebab kenapa kita perlu menggunakan tali yang halus ialah, spesis ini sangat peka dan gemar membuat U-Turn secara tiba-tiba ketika meluru pada umpan. Tetapi, ada kawasan yang ikannya tidak kisah langsung tentang diameter tali. Berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan, sekiranya kawasan itu jarang dikunjungi, selalunya ikan-ikan di situ lebih mesra alam. Tetapi, selepas kerap dikunjungi, selalunya ikan Tamok akan menjadi culas seculas-culasnya. Satu lagi tips yang saya ingin kongsi ialah, tali tangsi atau monofilamen merupakan tali yang paling sesuai untuk dijadikan ‘mainline’ kerana sifat tali ini yang mudah terapung di permukaan air. Tali fluorocarbon lebih mudah untuk tenggelam dan menyukarkan proses untuk set hook yang akan saya kongsi selepas ini.
Saya menggunakan tali monofilament sebagai tali mainline yang disambungkan pada tali fluorocarbon untuk dijadikan perambut.
Teknik Perambut
Antara keunikan pancingan ikan Tamok ialah pada pelampungnya. Perambut Tamok menggunakan pelampung yang dibuat sendiri dari selipar terpakai. Bentuk pelampung tamok yang kecil dan lonjong direka sedemikian supaya mudah untuk dilontar dan mudah untuk tenggelam ketika ikan mengambil umpan. Warna pelampung selalunya berwarna hitam atau terang supaya mudah untuk dilihat. Elakkan penggunaan pelampung berwarna putih kerana kita tidak mahu ikan Tamok menyangka itu adalah roti. Boleh cuba sendiri kalau nak tengok ikan tu sondol pelampung bertalu-talu.
Saya ada membuat artikel dan video tentang cara menyediakan perambut tamok. Saya sarankan supaya anda baca atau lihat dahulu maklumat tersebut.
Baca artikel: Teknik Penggunaan Pelampung di dalam Ultralight Fishing
Mata kail
Saiz mata kail bergantung pada kawasan dan saiz ikan Tamok yang ingin dipancing kita. Saya gemar menggunakan mata kail bersaiz 7 hingga 10 untuk ikan berskala kecil dan sederhana, dan 10 hingga 12 untuk ikan Tamok berskala mama(1kg dan ke atas). Gunakan mata kail yang halus, tajam, dan cukup kuat. Saya pernah mengalami tragedi menyayat hati akibat patah mata kail diasak mama Tamok.
Umpan
Umpan yang paling mudah dan senang ialah roti Gardenia. Boleh guna jenama lain tetapi buat masa sekarang, roti Gardenia yang paling tahan lasak dan sedap dimakan begitu sahaja. Ada dua cara untuk menyediakan umpan iaitu secara basah dan kering. Untuk mendapatkan roti basah, rendam roti di dalam bekas yang berisi air. Pemancing Tamok tegar selalunya akan menggantung baldi kecil berisi roti basah di pinggang mereka.
Kenalpasti lokasi yang berpotensi
Seperti yang saya nyatakan sebelum ni, spesis ini akan berada di pesisiran pantai berpasir/berbatu, muara sungai, dan di sekitar kawasan rumah rakit / jeti, dan kelong. Keadaan air yang jernih memudahkan kita untuk mengenalpasti keberadaan ikan tetapi ikan akan menjadi lebih culas ketika mengambil umpan. Keadaan air yang keruh pula menyukarkan kita untuk mengetahui keberadaaan ikan tetapi ikan lebih mudah untuk mengambil umpan. Semak jadual air pasang surut di kawasan anda Sebelum turun memancing, pastikan anda menyemak terlebih dahulu jadual air pasang surut. Dikhuatiri apabila anda turun memancing, kawasan yang anda ingin kunjungi itu telah kering kerana air telah surut. Selain itu, bergantung pada kawasan, ikan Tamok hanya akan datang ketika air sedang mula untuk surut, atau ketika air sedang mula pasang. Perkara ini berbeza mengikut kawasan.
Seru ikan untuk datang
Mungkin kedengaran tahyul, tetapi pemancing tamok mempunyai kebolehan untuk menyeru ikan datang dengan bantuan roti Gardenia. Teknik merasuah ikan ini merupakan langkah awal untuk mengenalpasti sama ada ada atau tidak ikan Tamok di kawasan tersebut.
Cara untuk merasuah ikan ialah dengan menabur roti yang telah dicubit ke kawasan yang ingin dipancing. Cukuplah dengan 2 atau 3 keping roti untuk permulaan. Sekiranya perlu, anda juga boleh membuat bom roti dengan membasahkan roti dan melumatkannya sehingga betul-betul hancur. Hempaskan roti yang telah lumat itu di kawasan target.
Selepas selesai upacara menyeru, kita perlu menunggu seketika untuk melihat sekiranya ada ikan yang datang mengutip roti. Cepat atau lambat bergantung pada banyak faktor seperti cuaca, faktor air pasang/surut, dan punca-punca lain yang tak dapat diterjemahkan. Ada waktunya, baru nak tabur ikan dah datang, ada kalanya lepas sejam tabur roti baru ikan nak datang, dan juga sekali sekala kalau bertuah, bayang ikan pun tak nampak sampai habis roti sebungkus.
Satu lagi perkara penting yang perlu anda tahu, ada kalanya ikan Tamok datang tetapi tidak mencuit langsung roti yang telah ditabur. Saya dan rakan-rakan masih lagi belum menjumpai jawapan kenapa fenomena ini boleh berlaku. Sebab itulah disarankan supaya kita hanya mula memancing apabila ada ikan Tamok yang datang mengutip roti.
Apa yang penting ialah, sabar dan yakin. Sebab itulah saya katakan pemancing tamok perlu mempunyai tahap komitmen, dedikasi, dan daya fokus yang tinggi. Perkara-perkara inilah yang menjadikan seorang pemancing itu sabar.
Baik, sekiranya sudah ada kelibat ikan mengutip roti, kenalpasti terlebih dahulu sama ada itu ikan Tamok atau spesis lain. Terdapat banyak spesis ikan seperti Kitang, Tanda, Kerong, Belukang, Jenjulung, Sarjan, Bawal, Puput, dan pelbagai lagi yang turut menggemari roti.
Sekiranya memang betul ikan Tamok yang datang, baharulah kita boleh mula memancing. Taburkan sedikit lagi roti supaya ikan lebih leka.
Terdapat dua kaedah untuk persembahan umpan iaitu makan di atas, dan makan di bawah. Makan di atas bermaksud kita membiarkan umpan roti kita terapung di atas permukaan air. Keadaan ini sesuai ketika air jernih dan ketika ikan dilihat timbul di permukaan air untuk mengutip roti. Makan di bawah pula, kita jadikan umpan roti kita tenggelam di bawah permukaan air. Keadaan ini sesuai ketika air keruh, dan apabila ikan tidak mengambil roti yang berada di permukaan air.
Perkara paling penting dalam pancingan ikan Tamok ialah, kita PERLU menyentak rod untuk membuat ‘hook set’ ketika ikan sedang memakan umpan. Jangan diharap ikan akan tersangkut secara automatik kerana perkara ini AMAT jarang berlaku. Inilah sebabnya kenapa tali monofilament sangat sesuai digunakan sebagai mainline kerana hook set yang pantas dapat dilakukan kerana tali tidak tenggelam. Seperti yang saya telah tulis di atas, ikan Tamok sangat pandai mencuri umpan. Sekiranya anda menggunakan teknik makan di bawah, cara untuk mengenalpasti sama ada ikan telah mengambil umpan atau tidak ialah pelampung akan tenggelam seperti ditarik dari bawah.
Spot di kawasan air berarus dan berombak sememangnya lebih mencabar. Kita tidak dapat mengekalkan kedudukan pelampung di tempat yang sama, oleh itu kita perlu sentiasa membuat lontaran semula.
Di sinilah terletaknya daya fokus pemburu Tamok kerana perlu sentiasa melihat pelampung di permukaan air. Daya refleks yang pantas juga diperlukan kerana kita perlu membuat sentakan secepat kilat sejurus pelampung tenggelam. Saya tak dapat gambarkan betapa nikmatnya terasa ketika membuat sentakan ketika pelampung tenggelam dan dalam masa yang sama, mata kail dapat disangkutkan pada mulut ikan Tamok.
Sekiranya anda berjaya membuat ‘hook set’, anda perlu melayan pecutan awal ikan Tamok. Pastikan drag pada mesin tidak terlalu ketat kerana dikhuatiri rod akan patah, tali terputus, atau mata kail terkangkang. Ada kalanya, ikan ini akan membuat aksi akrobatik dengan melompat di atas permukaan air. Walaupun tidak secantik aksi akrobatik ikan Tarpon, tetapi aksi ikan Tamok inilah yang kerap memutuskan tali dan melucutkan mata kail. Jangan gopoh untuk mendaratkan ikan ini kerana stamina ikan Tamok sangat kuat, terutamanya yang bersaiz besar. Sekiranya anda mempunyai sauk ikan, sila bawa bersama kerana saya dan rakan-rakan kerap terlepas ikan ni ketika hendak didaratkan.
Sebagai penutup, ingin saya tegaskan, penulisan artikel ini berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa kalau hendak dibandingkan dengan beberapa orang rakan saya dan pemburu Tamok yang lain. Saya mohon maaf sekiranya ada bahagian pada artikel ini yang salah, ataupun menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Sekiranya anda benar-benar ingin menjerat spesis ini, saya cadangkan supaya anda berkomplot dahulu dengan rakan-rakan yang tahu teknik memancing ikan Tamok. Saya yakin setiap tempat dan kawasan mempunyai kaedahnya yang tersendiri, jadi ada kemungkinan ada beberapa maklumat pada artikel ini tidak dapat digunakan di kawasan anda.
Harapan saya, anda akan cuba memancing ikan ini walaupun hanya sekali. Rasailah sendiri apa yang dimaksudkan dengan istilah “Tiada Jalan Pulang” yang sering diucapkan oleh mereka yang gemar memburu ikan Tamok.
Selamat mencuba, dan terima kasih kerana sudi membaca.
Pemancing biasa yang baru terjebak dalam dunia Ultralight Fishing. Oh indahnya~
perkongsian yg baik.. terima kasih..
sama2 🙂
Asslmkm tn² sy dr mlk baru nk mula cari tamok 0176019725 fb radin@dino
Mantappppppp… jgn lupa share gambo 🙂