Site icon Ultralight Fishing Tips and Tricks For Ultralight Anglers

Apakah Ukuran Drag Yang Betul Untuk Reel Bagi Pancingan Ultralight?

Mekanisme drag pada reel direka untuk membolehkan anda menetapkan berapa banyak daya tahan ikan yang dirasakan apabila ia menarik umpan dan tali anda. Drag di ukur dalam pound namun pengeluar akan meletakkan label dalam kiraan paling hampir biasanya dalam KG. Lebih ketat anda menetapkan drag semakin kuat rintangan ikan terasa. Jika anda menetapkan drag yang ketat maka ia akan cepat meletihkan ikan semasa perlawanan tetapi tidak begitu ketat sehingga tali putus akibat tekanan. Hampir setiap reel mempunyai drag setting untuk mengawal kekuatan tekanan (force) yang perlu di tetapkan dalam aktiviti pancingan.

Jadi apakah ukuran drag yang betul untuk reel saya?

Pemancing yang berilmu sedia tahu bahawa rules of thumb untuk drag setting ialah 25% dari kekuatan tali yang anda gunakan dengan syarat tali penuh di dalam reel. Persoalannya sekarang bagaimana hendak mengira kekuatan 25% tersebut? Tidak semua pemancing tahu cara kerana masing-masing mempunyai tahap pemikiran yang berbeza dan juga berlainan pendapat.

NOTA: JANGAN TERPENGARUH DENGAN RULES OF THUMB INI. Ia sekadar asas dalam pancingan. Drag setting sebenarnya bergantung pada bermacam-macam faktor semasa anda memancing. Ia termasuk dalam jenis rod, aksi rod, power rod, size reel, kekuatan drag reel, tali pancing anda, leader anda, snap anda, habitat ikan, jenis ikan, tinggi rendah anda, boating atau landbase dan pelbagai lagi perkara lain yang akan mempengaruhi drag setting.

Ada jenis ikan mempunyai rahang yang cukup kuat, ada pula hidup disekitar struktur yang mencabar dan sebagai pemancing kita juga mempunyai kekuatan berbeza. Jadi semua ini menyumbang kepada logik sebenar apabila membuat drag setting.

Cara yang biasa digunakan untuk mengukur drag ialah dengan menggunakan penimbang. Penimbang yang berspring (atau digital boleh diterima pakai) untuk memastikan bacaannya adalah lebih tepat dengan posisi rod seperti anda memancing ikan. Lakukan ini tidak kurang daripada 10 kali untuk memastikan bahawa permukaan geseran komponen drag adalah rapat dan panas seperti menerima asakan semasa memancing.

Terdapat beberapa cara biasa digunakan oleh pemancing untuk mengukur kekuatan drag. Apa pun ini adalah best efforts bukannya tepat 100% cuma boleh dijadikan sebagai panduan di mana anda memerlukan beberapa tools sebagai pengukur.

Kekuatan sesuatu tali ialah berdasarkan “breaking strength” kebiasaannya dilabel dengan jelas pada kotak dan spool.

Contohnya:

Test strength / 4 = drag setting yang betul. Sebagai contoh jika anda menggunakan tali 6lbs dan kiraan drag setting nya ialah 1.5lbs.

Cara kiraan: 6/4 = 1.5lb di mana 1.5lb = 0.68kg

Inilah kiraan yang biasa digunakan oleh semua pemancing dari dahulu lagi yang dikatakan rules of thumb untuk drag setting. Walaupun anda menggunakan reel yang mempunyai drag 6kg anda masih boleh menggunakan tali yang kecil jika rules ini diikuti dengan cara yang betul.

Tetapi sesuaikah dengan pancingan ultralight? Akan kita bincangkan dengan lebih lanjut dibawah nanti…

Bagaimanakah cara menetapkan drag pada reel?

Ada beberapa cara untuk mengukur kekuatan drag ada iaitu cara paling mudah dan boleh diterima akal ialah mengikat tali dari spool reel anda dengan pengukur digital atau manual dan menariknya dengan stabil. Dari situ anda boleh mengagak kekuatan drag anda yang sebenar.

Lagi satu cara ialah menggunakan botol air mineral 500ml atau 1 liter dimana 500ml = 0.5kg dan 1 liter = 1kg jika ditimbang (plus minus). Anda boleh mengikat pada tali anda dan set drag anda dengan anggaran apabila tali mula keluar dari reel dan setting itulah agak selamat untuk digunakan.

Tetapi ini hanya sebagai salah satu cara yer dan bukannya 100% tepat. Sila faham dan risiko yang anda ambil mengikut cara ini adalah tanggungjawap anda sendiri. Ini kerana banyak faktor lain yang akan mempengaruhi kesahihannya.

Lagi satu cara yang lebih tepat berbanding dengan cara diatas ialah menggunakan setup pancing anda. Caranya ialah:

  1. Pasang rod anda dengan reel dan pastikan tali anda juga dipasang seperti biasa melalui semua guides seperti di dalam gambar.
  2. Ikat tali pancing ke cangkuk penimbang anda.
  3. Pegang batang pada sudut 45°.
  4. Tarik turun penimbang anda kebawah dan ambil bacaan pada penimbang apabila apabila drag anda mula keluar.
  5. Sesuaikan mekanisme drag anda sehingga drag reel itu sesuai dengan kekuatan tali yang anda guna.

Apa pun banyak faktor lain yang akan mempengaruhi semua kiraan ini. Contohnya semasa perjalanan mungkin drag reel anda terusik tanpa disengajakan atau kadang-kadang semasa mancing anda juga mungkin dengan tidak sengaja akan terusik drag anda. Ada pula reel kadang-kadang terkunci ketat tanpa sebarang sebab. Faktor lain yang juga harus diambil kira ialah “wear and tear” yang bermaksud “pakai dan haus”. Setiap reel yang digunakan akan melalui isu makin lama guna makin haus dragnya. Jadi segala info di berikan adalah sebagai panduan yang boleh anda guna semasa mengukur drag reel anda.

Apakah Kesannya Pada Ultralight Fishing?

Jika anda gunakan reel yang dragnya 6kg dan menggunakan rules of thumb untuk melaraskan drag setting seperti yang dibincangkan diatas maka pada pandangan anda ia sudah cukup “perfect” dan boleh digunakan untuk pancingan ultralight tanpa was-was.

Yer betul secara logik berdasarkan common practise tetapi apa kata kita berfikir jauh sedikit dan tanya diri anda soalan-soalan ini:

  1. Berapa ramai pemancingkah yang faham rules of thumb dalam drag setting ini?
  2. Semua pemancingkah akan menggunakan dan meluangkan masa untuk buat semua ini?
  3. Berapa ramaikah yang mampu mengawal emosi mereka apabila memancing? Bayangkan apabila umpan mereka di makan oleh ikan yang besar (yang tidak di jangka). Apakah yang mungkin akan berlaku? Pastikah semua pemancing mempunyai emosi yang sama dimana tangan mereka “tidak gatal” dari membuat sebarang adjustment pada drag mereka?
  4. Mahukah anda membuang masa dengan segala proses membuat ukuran drag setiap kali memancing yang pasti amat melecehkan? Atau memudahkan segala-galanya dengan membeli reel yang dragnya 6lbs = 2.7kg kebawah dan sudah tentu ia tidak akan memberi sebarang kesan walaupun anda membuat kesilapan adjust drag pada kekuatan yang maxima? Buang masa atau memudahkan?
  5. Mengapa wujud reel yang dragnya 2.7kg dan kebawah? Untuk tujuan apa ia direka cipta oleh manufacturer? Bukankah ia direka cipta untuk game pancingan ultralight kerana ia lebih balance dan selamat? Mengapa mereka tidak berhenti sahaja dengan  satu reel contoh 6kg untuk semua jenis pancingan dan semua pemancing tidak perlu membuang duit mereka?

Anda harus faham ultralight fishing tidak sama caranya dengan light, medium atau heavy game. Usah terlalu keras hati dalam menerima perubahan untuk kesesuaian. Ultralight setup amat sensitif contoh rod amat mudah patah jika silap caranya kerana kehalusan blank dan cara ia dibuat yang mementingkan sensitiviti. Bukan seperti light/medium/heavy game dimana walaupun anda menggunakan tali atau drag reel yang jauh lagi kasar dan kuat dari apa yang disarankan ia masih boleh menerima impact / hentakan kerana buatan rod yang kuat dan lebih kasar/tebal blanknya.

Dalam ultralight fishing tiada istilah menghentak setup anda untuk membuat hook up seperti heavy game. Dalam ultralight ia lebih pada skills hook up anda menggunakan kombinasi momentum rod dan drag setting reel yang betul dengan body positioning dan inilah dikatakan sebahagian dari “Art of Ultralight Fishing”. Fahami info ini kerana yang membezakan pendapat dan ideologi kita sebagai pemancing adalah perkara yang amat asas.

Sebagai pemancing terpulang kepada anda untuk memastikan drag anda smooth dan berada dalam kekuatan yang betul. Sebagai pemancing juga amat penting untuk memantau prestasi drag anda semasa pertarungan. Semasa bertarung dengan ikan yang laju dan kuat, pastikan anda sentiasa bersiap sedia untuk melaraskan drag, terutamanya apabila diameter spool anda berkurangan. Kerana ujian mendapati bahawa apabila tali makin berkurangan dalam spool lebih banyak daya diperlukan untuk menarik tali dari reel dan ini menyebabkan drag akan berganda. Dengan kata lain apabila tali pada spool berkurangan hingga satu perempat dari jumlah asalnya, jumlah drag juga akan meningkat empat kali ganda. Oleh itu, jika anda menetapkan drag reel anda pada 25% dari kekuatan tali kini tali anda sebenarnya berada pada point breaking (putus).

Bayangkan impact lain yang diterima oleh rod dan bebanan lain yang dipasang seperti umpan, pemberat dan lain-lain yang serba sedikit akan menjejaskan semua ini. Bayangkan impact dari tarikan ikan, impact dari geseran (friction) air yang mengalir apabila tali berada dalam air, impact dari larian ikan, impact pancing atas boat, impact dari pancingan secara landbase sama ada anda berada satu level dengan air atau tebing yang tinggi,  dan pelbagai isu lain yang kadang-kadang tidak masuk akal tetapi sebenarnya memberi kesan. Adakah anda rasa ini semua tidak akan memberi sebarang impact? Ini adalah perkara yang tidak semua pemancing tahu dan sedar.

Pening dan makin tidak boleh diterima kan? Tetapi inilah fakta kerana ia adalah prinsip kejuruteraan. Sebab ini jugalah kami sentiasa mendidik anda dalam memastikan pentingnya balance dan matching lebih-lebih lagi dengan pemilihan reel yang mempunyai drag yang sesuai. Kami mempermudahkan proses untuk anda supaya dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Mungkin anda pernah perhatikan pemancing jigging meluruskan rod mereka kearah air  / ikan tetapi pernahkah anda terfikir mengapa? Supaya mereka dapat mengulung tali terus dari spool reel dan menghalang kesan/tekanan dari lengkungan rod yang boleh membawa masalah. Bayangkan rod yang keras dan liat seperti rod jigging mereka juga mengambil kira semua faktor-faktor ini apakah pula dengan rod ultralight yang lebih halus dan sudah tentu lagi mudah patah.

Akhir Kata

Kaedah mengukur drag reel ini adalah cara yang sesuai untuk menetapkan drag reel anda mengikut kesesuaian pada game pancingan anda (untuk drag yang besar dari 3kg) dan kaedah ini juga boleh digunakan pakai untuk ultralight game tetapi untuk reel yang dragnya lebih kecil dari 3kg ini kerana ultralight sifatnya amat sensitif dan kehalusan dalam teknologi pembuatan seharusnya dijadikan sebagai faktor utama sebagai panduan dari dijadikan sebagai point perbalahan dalam pendapat.

Apa yang pasti semua ini seharusnya mengikut cara dan situasi anda apabila mencari sesuatu target dan melawan ikan yang di target dengan menyesuaikan pelbagai situasi seperti persekitaran. Ada pemancing tahu sesuaikan keadaan dan target ikan yang mereka cari dengan setting drag yang lebih sesuai. Ini semua berisiko tetapi pengalaman akan mengajar kerana anda yang memahami cara dan setup yang telah biasa anda gunakan berdasarkan teknik dan style pancingan anda. Sebab itulah saya katakan lebih baik menggunakan reel yang dragnya 2.7kg kebawah yang sudah tentu direka-cipta untuk pancingan ultralight. Kerana walaupun tersilap / terlupa menyelaraskan drag anda masih berada dalam situasi yang selamat. Mengapa perlu menyusahkan diri dengan benda yang tidak perlu dari menggunakan reel dragnya 2.7kg dan kebawah yang sudah tentu tidak memberi sebarang masalah?

Bagi saya setiap spesis ikan memerlukan kekuatan drag yang berlainan untuk mengawal ikan itu melarikan diri ke sarang atau kawasan yang bahaya. Disinilah pengalaman akan memainkan peranan penting. Tidak semua pemancing tahu menggunakan momentum rod dengan setting drag reel yang betul untuk mengawal tekanan dan asakan dari ikan. Akibat kurangnya pengalaman mereka suka mengetatkan drag reel yang menjadi punca utama putusnya tali atau lagi teruk rod patah akibat menerima “lebihan muatan”. Ada pemancing yang berpengalaman memang sengaja mengetatkan drag supaya dapat menaikkan ikan dengan lebih cepat tetapi kesilapan handling datang tanpa sebarang amaran jadi lebih baik gunakan pengalaman dan selaraskan setup supaya ia balance dan matching kerana ia lebih selamat dan tiada risiko akibat kesilapan asas. Semua info ini seharusnya dijadikan sebagai panduan jika anda ingin menceburi sukan ultralight fishing.

Pengalaman amat penting kerana pemancing yang berpengalaman akan tahu menggunakan “feel” bagaimana membuat drag setting yang betul. Apabila telah menjiwai anda tidak lagi memerlukan peralatan untuk mengukur drag selagi anda memahami pentingnya balance dan matching dalam ultralight fishing yang lebih sensitif. Secara praktikal, kebanyakan pemancing tidak terlalu fokus atau kalut dalam memastikan drag reel mereka. Selepas mengukurnya beberapa kali, mereka biasanya akan mendapat idea tentang rasa (feel) itu dengan menarik tali pancing dengan tangan. Selepas itu mereka boleh menggunakan feel untuk menetapkan kekuatan drag yang diperlukan. Ukur sekali dua lagi jika anda ingin menukar kekuatan drag yang anda rasa betul. Tetapi ingat ya, ini adalah kebiasaan pemancing dan kebiasaan inilah biasanya boleh menyebabkan kesilapan. Hati-hati dengan kebiasaan anda kerana tidak sentiasa ia tepat kerana kebiasaan akan buat kita lalai.

Pelbagai teknologi telah wujud dalam dunia pancing kini dimana ia tentunya yang lebih bagus jika dibandingkan dengan 10-30 tahun yang lepas. Apa yang anda perlu buat ialah selaraskan supaya ia lebih balance dan matching untuk tujuan yang lebih memberi kepuasan. Segala-galanya telah direka-cipta (fine tune) sehabis baik dengan teknologi supaya ia selamat dan sesuai.

Apa pun seperti yang saya katakan setiap pemancing mempunyai cara, pengalaman yang berbeza dan sebab itulah wujudnya perbalahan dalam pendapat. Bagi saya ia amat mudah jika kita tahu membuang ego, merendahkan diri dan menyelaraskan ikut kesesuaian untuk tujuan yang lebih seronok.

Kesimpulannya, adalah sangat penting untuk memahami bagaimana tekanan drag bervariasi dengan paras tali anda dengan spool. Dan memahami apakah kesan-kesan lain yang boleh memberi perubahan pada drag setting. Memahami ini akan membolehkan anda menyesuaikan kekuatan drag yang lebih tepat. Semoga ilmu ini dapat memberi anda idea mengapa pentingnya balance dan matching dalam pancingan lebih-lebih lagi dalam ultralight fishing. Mungkin sekarang anda boleh memahami mengapa kami berkata pemilihan reel yang dragnya sesuai dengan setup ultralight anda adalah amat penting. Selainnya terpulang pada anda.

Nota:

Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Kami akan cuba perbaiki info dalam setiap artikel kami dari masa ke semasa untuk tujuan memperbetulkan apa yang kurang tepat. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Exit mobile version