Lazimnya, pemburu haruan akan menggunakan soft frog, jump frog, dan swimbait seperti Zman Minnowz untuk menjerat spesis ini di negara kita. Ada juga yang menggunakan teknik Texas rig, Carolina rig yang saya kira agak efektif sekiranya haruan berada dalam keadaan culas.
Saya ingin kongsikan satu lagi teknik khas untuk memikat haruan yang culas kali ini iaitu teknik Jika rig. Untuk makluman, saya kerap menggunakan teknik ini sebagai senjata terakhir saya atau last resort sekiranya soft frog, jump frog, atau swimbait saya tidak disambar langsung. Saya akui, ledakan topwater memang mengujakan bagi seorang pemancing, tapi sekiranya tiada langsung sambaran, kita perlu mengubah strategi demi mengelakkan kumpau.
Antara punca ikan haruan culas ialah ikan stress. Ikan pun boleh stress kalau kawasan tu kerap sangat orang datang memancing. Jadi ikan dah mula culas bila nampak soft frog, jump frog dan sebagainya. Di sinilah pentingnya kita sebagai pemancing menambah ilmu untuk mempelajari teknik-teknik rigging lain.
Teknik Jika rig kerap digunakan oleh pemancing ikan bass di US dan dikategorikan sebagai salah satu teknik finesse. Namun, teknik ini telah dikenalpasti berasal dari negara Jepun, sebab itulah teknik ini dinamakan ‘Jika’ yang membawa maksud direct.
Teknik ini memerlukan mata kail dari jenis weedless(mata kail biasa pun boleh), batu ladung drop shot, dan split ring. Softplastic yang sesuai digunakan ialah dari jenis crawfish atau udang kara, tapi saya dapati jenis paddle tail, curly tail @ grub, dan berbentuk cacing/lintah juga sesuai untuk spesis ikan haruan di negara kita.
Saiz mata kail yang sesuai ialah bergantung pada saiz softplastic yang akan kita guna(saya suka guna wormhook Decoy saiz 6). Saya gemar menggunakan softplastic bersaiz 3 ke 5 cm (contoh) seperti Elastico dari Kanicen Nix Grenti Strike. Untuk teknik ini, saya gunakan batu ladung bersaiz 1/8 oz atau 3.5g sahaja. Batu ladung yang terlalu berat akan mengganggu renangan softplastic.
Sekiranya anda tidak mempunyai masa atau split ring, saya syorkan supaya letakkan terus batu ladung dan mata kail pada snap seperti gambar di bawah. Saya selalu guna kaedah ni sebab jimatkan masa dan split ring.
Cara menggayakan teknik ini lebih kurang sama seperti Texas rig. Baling umpan ke kawasan yang berpotensi didiami ikan, biarkan tenggelam hingga ke dasar, dan kita boleh cuba untuk mengarau perlahan secara konsisten. Karauan perlahan secara konsisten akan menjadikan batu ladung menyeret pasir/lumpur pada dasar sungai di samping ekor softplastic kita akan menari tanpa sebarang gangguan.
Cara yang lain ialah biarkan umpan kita jatuh ke dasar.Kemudian, jerk rod secara lembut ke atas, dan karau semula tali yang kendur. Ulang proses ini sehingga strike.
Saya dapati teknik ini sangat versatil dan dapat digunakan pada kawasan berair cetek dan dalam, sama ada berarus atau pun tidak.
Sekiranya ada ikan yang menyambar, kita dapat rasakan sentakan pada rod, dan akan timbulnya buih-buih kecil di permukaan air, dan tali kita akan bergerak ke arah lain. Nasihat saya, jangan terus buat hook up, pastikan tali tegang dahulu, sekiranya tali kita terus ditarik barulah buat hook up @ sentakan.
Buat masa sekarang, saya hanya mencuba teknik ini pada pancingan ikan haruan sahaja. Sekiranya ada rakan-rakan yang telah mencuba teknik ini pada spesis ikan yang lain, kongsikan pengalaman anda di ruangan komen. Terima kasih.
Saya akhiri artikel ini dengan beberapa keping gambar hasil penggunaan teknik Jika rig. Selamat mencuba dan semoga strike selalu dari saya.
Pemancing biasa yang baru terjebak dalam dunia Ultralight Fishing. Oh indahnya~