Saya ingin menyambung artikel saya tentang teknik lontaran untuk accuracy @ ketepatan yang saya sudah tulis sebelum ni. Teknik yang akan saya kongsi pada artikel kali ini lebih praktikal. Sebenarnya, teknik ini telah lama digunapakai oleh para pemancing trout di Jepun. Kebanyakan mereka menggunakan kekili spinning untuk memancing trout kerana gewang yang digunakan untuk memancing ikan trout bersaiz kecil dan ringan. Teknik ini sangat penting untuk memastikan mereka dapat melontar gewang tepat ke sasaran dan bukannya terkena ranting pokok, tebing sungai yang dipenuhi pokok, dan kayu balak mati yang berada di dalam sungai.
Saya telah mencuba teknik ini dan saya dapati teknik ini lebih mudah untuk dipraktikkan dengan menggunakan kekili spinning bersaiz 1000. Saya mengalami kesukaran untuk meletakkan jari telunjuk saya di spool kekili bersaiz 500. Saya kongsikan sedikit gambar tentang teknik asas lontaran ini.
Langkah pertama: Gunakan jari telunjuk untuk menahan tali ketika hendak membuat lontaran. Saya yakin semua pemancing menggunakan kaedah ini.
Langkah kedua: Ketika membuat lontaran dan melepaskan tali, kekalkan kedudukan jari telunjuk berdekatan dengan spool.
Langkah ketiga: Ketika gewang kita menghampiri sasaran atau halangan, gunakan jari telunjuk yang telah bersedia tadi dengan menahan tali di bahagian atas spool. Kita juga dapat mengawal dan memperlahankan kelajuan lontaran dengan mendekatkan jari telunjuk berdekatan bahagian atas spool.
Teknik ini nampak mudah tetapi sangat berguna untuk menjadikan lontaran kita lebih tepat, sekaligus menyelamatkan gewang kita dari menjadi hiasan di ranting-ranting pokok. Saya sarankan rakan pemancing mencuba teknik ini di kawasan yang lapang dahulu. Sekiranya telah yakin dan mahir, barulah cuba di kawasan yang mencabar yang penuh dengan pokok di kiri kanan sungai.
Selamat mencuba. Saya sudahi artikel ini dengan berkongsi sebuah video dari youtube tentang teknik ini.
Pemancing biasa yang baru terjebak dalam dunia Ultralight Fishing. Oh indahnya~