Site icon Ultralight Fishing Tips and Tricks For Ultralight Anglers

Teknik Lontaran untuk Accuracy – Bahagian 3

Alhamdulillah, bertemu lagi kita di bahagian ke-3 artikel ini. Kali ni, saya ingin berkongsi tentang faktor luaran yang mempengaruhi ketepatan lontaran kita, iaitu angin. Sememangnya kita tidak dapat mengawal angin. Kita cuma dapat kawal tindakan kita terhadap angin yang datang. Maafkan saya seandainya ayat saya agak mengelirukan, tapi harap bersabar kerana saya akan cuba sehabis baik untuk memberikan penjelasan.

Angin datang dari pelbagai arah, kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan, dan kadang-kadang tiba-tiba saja angin datang dan hilang.

Saya akan memberikan penerangan berdasarkan arah angin supaya anda lebih faham.

1. Angin dari hadapan (Headwind):

Andaikan ketika anda sedang memancing, angin datang dari arah hadapan anda. Lontaran ke hadapan akan menjadi perlahan kerana kelajuan lontaran gewang kita telah diperlahankan olen angin. Common sense, kan? Jadi, apa yang kita perlu buat ialah membuat lontaran dengan lebih kuat, betul tak?

Wind knots

Tapi kita perlu mengambil kira faktor utama iaitu, kita menggunakan set ultralight. Tali yang kita guna diameternya halus, dan berat gewang yang kita guna sangat ringan, rata-rata antara 1-4 gram sahaja. Berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa, membuat lontaran dengan kuat ke arah angin yang datang kepada kita, boleh mengakibatkan tali mainline bersimpul di guide atau lebih dikenali sebagai wind knot, atau di spool. Selain itu, walau sekuat mana pun kita membuat lontaran, kita tetap tidak dapat membuat lontaran jauh kerana berat gewang yang ringan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, saya syorkan supaya anda membuat lontaran seperti biasa untuk mengelakkan tali mainline bersimpul @ birdnest. Apa yang anda perlu buat ialah menukar gewang lain. Kita memerlukan bentuk gewang yang dapat memotong angin. Gewang seperti blade, micro spoon, micro jig, bullet fly, dan pencil(contohnya Ofmer Wonder & Storm Flutterstick) bagi saya mempunyai rekabentuk yang dapat mengurangkan rintangan angin. Seandainya tiada angin, gewang-gewang yang saya sebutkan tadi memang dapat dilontar dengan jauh kerana bentuknya yang nipis/tajam/lonjong.

Atau, sekiranya rod anda mampu(lihat pada lure weight rating di rod) melontar gewang yang lebih berat hingga ke 7-10 gram, anda boleh juga menukar gewang yang lebih berat untuk melawan daya angin.

Tapi, sekiranya angin terlalu kuat, saya nasihatkan supaya anda berehat dahulu atau tukar lokasi memancing. Kita memancing untuk menghilangkan stress, bukan menambahkan stress.

 

2. Angin dari belakang (Tailwind):

Angin yang datang dari belakang kita sangat berguna untuk menambahkan jarak lontaran gewang kita. Namun ada ketika keadaan ini membuatkan kita menjadi bingung kerana gewang kita boleh tersangkut di semak / pokok / reba kayu bila datangnya angin dari belakang secara tiba-tiba dan menambah jarak lontaran tanpa kita ingini. Penting untuk kita mengawal pergerakan tali di spool dengan menggunakan jari telunjuk bila terjadinya keadaan ini (Sila baca artikel bahagian 2 tentang teknik mengawal tali di spool). Kita juga perlu lebih peka tentang perubahan angin yang berlaku.

 

3. Angin dari kiri / kanan (Crosswind):

Angin yang datang dari kiri atau kanan sememangnya menganggu ketepatan lontaran kita. Selalunya gewang kita akan tersangkut di pokok di tebing sungai atau di reba kayu. Selain tu, tali mainline kita juga akan ditiup angin dan akan singgah ke ranting-ranting pokok di tebing sungai. Perkara ini terjadi kerana kita membuat lontaran tepat ke sasaran tanpa mengambil kira faktor keadaan angin yang sedang berlaku.

Untuk mengelakkan kejadian ini, kenalpasti dahulu arah angin. Sekiranya angin datang dari arah kanan, dan tebing sungai berada di sebelah kiri, dan aim / target kita berdekatan dengan tebing sungai di sebelah kiri, buat lontaran off-target dalam 15-30 darjah ke arah aim / target. Angin akan menolak gewang kita dan gewang akan jatuh di aim/ target yang kita inginkan. Tapi perkara ni bergantung pada tahap kelajuan angin dan bentuk gewang. Semakin kuat angin, semakin ke kanan lontaran off-target yang kita perlu buat, dan bentuk gewang besar lebih mudah ditolak angin berbanding gewang yang mempunyai badan yang kecil.

Dan, sebaliknya sekiranya angin datang dari arah kiri.

Lihat gambarajah di bawah untuk penjelasan lanjut.

Semoga perkongsian saya yang tak seberapa ini dapat membantu rakan-rakan lain menikmati hobi memancing dengan lebih seronok. Apa pun, jangan lupa untuk praktikkan teknik ni bila anda turun memancing.

Sekian dahulu dari saya, Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Exit mobile version