Site icon Ultralight Fishing Tips and Tricks For Ultralight Anglers

Trip Ikan Ebek Menjadi Pesta Ikan Tenggiri Dengan Ultralight Di Rompin

Semangat berkobar-kobar setelah menunggu hampir setahun untuk trip ikan Ebek di Rompin pada hari Ahad, 12/03/2017 bersama beberapa orang rakan dari team MK Brigade Melaka (Md Zam, abang Amir, Warden – Khairul Syazwan, Qamarul dan Zaid) dan Team Kanicen Nix (Kanicen Nix dan Thava Prasanth). Segalanya bermula dengan pelbagai cerita kekuatan ikan Ebek oleh kaki-kaki jigging. Lagi di racun, lagi bersemangat untuk turun ke laut mencari pengalaman pertama ikan ebek.

Pengalaman Pahit & Cara Elak

Memang suka sangat turun laut sekitar awal taun 2000an tetapi setiap kali teringat laut, hati mesti rasa tidak tenteram gara-gara terkena mabuk laut untuk kali pertama sampai berguling-guling dibuatnya. Yang terasa seksa apabila teringat kembali muntah tidak mahu, keluar “bawah” pun tidak mahu, perut memulas dan bebunyi di tambah pula dengan sakit kepala yang amat sangat. Arghhhh hanya Tuhan je tahu pengalaman perit ini sehingga berhenti main laut hampir 10 tahun lamanya. Kalau pergi pun mesti trip balik hari dan akan minta bot yang ada toilet supaya senang buat “kerja”. Setiap kali trip laut saya akan pastikan “Veloxin” ubat mabuk laut sentiasa bersama. Biar kebal mana pun safety come first. Tak guna pergi ke laut tapi melayan mabuk free. hahaha 😛

Perjalanan Awal & Akibat Teruja

Kami (Thava dan saya) bergerak dari Puchong, Selangor pukul 3:00 petang pada hari Sabtu 11/03/2017 sehari awal kerana ingin berehat secukupnya sebelum turun laut. Perjalanan dari Puchong mengikut jalan Nilai ke Kuala Pilah dan melalui Muadzam Shah ke Rompin mengambil masa hampir 4 jam dengan harapan dapat menarik si Ebek. Segala cerita keluar semasa perjalanan membuatkan kami lagi teruja. Teringat pula pengalaman main tarpon di Lanjut. Silap hari turun casting dulu jika sampai awal.

Akibat teruja lebih kami terlupa nak booking challet awal-awal. Kami tiba di simpang Leban Condong dengan harapan akan dapat mencari bilik atau challet tetapi kecewa kerana tidak ada satu pun yang menjawap panggilan telefon.

Teringat pernah stay di challet jeti Kampung Merchong satu ketika dulu. Cuba menelefon mereka tetapi kecewa kerana nombor yang mereka advertise tidak lagi dalam perkhidmatan. Namun kami mengambil risiko shoot terus ke jeti dengan harapan akan ada yang menunggu. Nasib kami baik memang ada yang masih menunggu. Tanpa berlengah kami terus membuat bayaran dan masuk bilik untuk meneruskan kerja membuat persiapan terakhir. Untuk yang ingin ke Rompin atau Merchong boleh call challet Merchong di +6012 901 1506. Harap-harap nombor ini akan sentiasa aktif. 🙂

Cabaran Yang Di Cari, Ikan Bonus

Bagi saya, trip ini memang untuk mencari pasal (seperti biasa suka mencabar) menggunakan setup UL serendah 1lbs dan paling tinggi ialah 4lbs kesemuanya 300 yards di isi dengan leader prototype Kanicen Nix dari 4lbs ke 11lbs.

Jigs di ikat sebanyak yang boleh sebab saya ni jenis tak boleh ikat atau tukar jigs atas boat. Mesti kepala berpusing macam ribut nak mabuk. So, nak permudahkan segala-galanya saya akan standby semua jigs yang hendak di pakai dengan mata. Swivel pula saya akan pakai jenis yang “pusing jig” ke swivel yang memudahkan segala kerja (contoh di bawah). Nak elak mabuk free nya teknik. Kalau boleh beli jenis yang ada gelung yang banyak sebab kadang-kadang jig boleh tercabut. Pernah sekali main slow jig dapat ikan tapi jig entah lesap kemana. Hahaha 😀

Shopping Sudah Pasti

Apapun setiap kali pergi trip mesti tak sah kalau tak shopping. Bab shopping ni bagi si Thava, memang akan di “racunnya” dengan pelbagai jigs. Nak taknak termakan jugak racunan dia. Beli jugak jigs yang dikatakan killer kat perairan Rompin. Power jigs antaranya dan sutun glow in the dark antara accessories sebagai umpan tambahan yang digunakan untuk memikat si Ebek. Katanya semua kaki Ebek akan pakai sutun ni. Beli la jugak (dapat free sebab pow Thava). Hahaha 😛

Apa pun diri sendiri tetap ada kehendak nak prepare ikut kata hati sendiri. Grenti Strike antaranya dan jigs yang rasa di hati seperti ada bisikan halus mengatakan “perlu” pun saya rembat sekali. Nasib baik banyak jigs-jigs yang pernah beli dulu. Jadi takda la membazir sangat, beli setakat 2/3 biji dan accessories spent extra sekitar RM50. Walaupun trip ini lebih kepada ikan ebek tetapi pengalaman lama teringat ada juga ikan tenggiri berkeliaran sekitar unjam. Tambah lagi Abang Amir dari MK Brigade juga mengatakan prepare lah jigs tok Tenggiri sebab ramai juga dapat katanya.

Utamakan Kebersihan

Sesudah prepare semua setup kami buat aktiviti terakhir malam Sabtu dengan mengisi perut. Puaslah juga merayap mencari restoren sehingga ternampak restoren mamak (kalau tak silap satu-satunya restoren mamak di pekan Rompin). Kami pun singgah makan tetapi suapan terakhir buat mood hilang terus kerana makanan yang dimakan “tendang” balik. Muntah semuanya kembali. Memang dah terasa dari awal makanan macam tak elok tapi entahlah. Benda nak terjadi dan memang menyesal tak sudah. Rushing cari klinik nak beli ubat untuk buang semua dari perut dari menjadi lebih serius. Macam-macam…

Tidur Awal, Cukupkan Rehat dan Makan Pagi

Apa pun setelah selesai di klinik kami terus balik ke challet, mandi dan terus tidur. Seawal pukul 4 pagi terbangun sebab toilet memanggil. Akhirnya buang selagi mahu, kelegaan. Kembali tidur bangun pukul 5:30 pagi, mandi, pack barang dan terus ke jeti Kuala Rompin untuk bertemu dengan geng-geng lain dari team MK Brigade. Kami breakfast sama-sama sambil ketawa happy dengan gelagat si “Warden – Khairul Syazwan” memikat awek restoren meriuhkan suasana. Di tambah pula cerita dari Abang Amir (selaku organizer) mengatakan “semalam ramai yang menaikkan Ebek” membuatkan kami lagi bersemangat.

Sesudah breakfast kami tapau apa yang perlu dan kembali ke jeti. Terserampak beberapa rakan jigging lain, beramah mesra sambil mengucapkan kejayaan. Pusing mana pun akan terserempak juga dengan rakan sememangnya betul. Jadi usah bermusuh tetapi berbaik-baiklah dengan semua.

Bermulanya Satu Cabaran dan Kekecewaan

Kami bergerak dari jeti pukul 8:30am dan sampai ke lubuk pertama sejam kemudian. Masing-masing tanpa melengahkan masa terus menurunkan apollo dan ada yang menurunkan jigs tetapi agak kecewa kerana tidak ada seekor pun menyambut. Hampir sejam tiada hasil kecuali apollo, ikan-ikan kecil sahaja dapat di naikkan.

Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk menukar lokasi. Sampai di lokasi kedua sekitar pulau barulah ternampak aksi-aksi ikan bermain air dan setiap kali lontaran jigs dan gewang di sambut oleh kekacang. Dapat juga melegakan hati yang menunggu sambaran. Saya mendapat beberapa sambaran ikan kekacang dan ikan Sagai tidak mendapat sebarang solid hook-up kerana menggunakan rod ultralight Sengat ditambahkan dengan mata agak besar dan tebal. Rakan-rakan lain melayan hentakan bertalu-talu dari kekacang yang bersaiz monster dan keriuhan mula kedengaran di atas bot walaupun ia bukan ikan yang di cari. Walaupun banyak lucut namun kami puas akhirnya kerana ada juga merasa tarikan ikan. Hampir 2 jam juga kami di sini mencari tarikan monster lain seperti ikan GT dan Sagai. Walaupun nampak tetapi tidak ada seekor pun yang sudi.

Kami kemudian beransur keluar jauh sedikit dari pulau dan mencuba kembali mencari Ebek namun kecewa sehinggalah ternampak beberapa bot lain mula menaikkan Ebek. Usaha punya usaha namun masih tiada sambaran. Pelbagai jigs, pelbagai umpan dan pelbagai teknik namun tetap kecewa. Ada yang mula berputus-asa dan mengambil masa untuk berehat. Perasan geram mula menguasai diri, letih jigging juga menjadi punca mencari apa silap diri sehingga tiada satu pun sambaran. Tekong dan abang Amir menggunakan udang juga tidak mendapat sebarang sambaran. Umpan udang langsung tidak berusik. Situasi ini menjadikan ia lagi pelik. Apollo juga tiada sambaran. Tidak ada ikan-ikan lain seperti selar / kerisi dan lain-lain. Memang pelik! Kata Tekong mungkin sebab faktor air jernih sangat. Tapi kami nampak clear banyak betul anak-anak ikan berkeliaran. Terlalu banyak.

Usaha Tanpa Jemu, Semangat Kembali

Apabila ternampak bot-bot lain menaikkan Ebek kami mula bersemangat dan terus berusaha keras namun masih tiada sambaran sehinggalah abang Amir mencadangkan kepada Tekong menyelit antara bot-bot kerana mungkin ada laluan ikan Ebek yang tak kena dengan tempat bot kita park. Tidak sampai 10 minit saya mendapat sambaran dan akhirnya setelah bertarung selama 20 minit dapat juga menaikkan ikan Ebek, ikan yang dicari. Penuh dengan debaran apabila di henjut tanpa berhenti. Lariannya memang seperti yang digambarkan dan seronoknya tidak terkata tetapi larian kedua kearah bot lain dan tersangkut dengan tali pemancing lain membuatkan diri terkedu sekejap. Nasib baik sempat menjerit memberitahu tali sangkut dan brader itu melepaskan talinya sehingga saya berjaya mendaratkan ikan ebek yang pertama. Naik sahaja ikan ayat pertama yang keluar ialah “terima kasih bang” kepada brader itu sebab memberi peluang dan bersabar. Bukan senang mencari rakan pancing yang memahami situasi sebegini. Walaupun terganggu namun dia tetap bersabar. Moga murah rezekinya. Tidak sempat kenal, tidak sempat menegur kerana jauh. Namun sentiasa bersyukur adanya pemancing yang sporting.

Rod: Kanicen Nix – Prototype
Main Line: 2lbs
Leader: Kanicen Nix – Prototype 4lbs
Umpan: Power Jig + Sutun Grenti Strike

Apa pun itu adalah ikan ebek pertama dan terakhir. Kami beransur pulang perlahan-lahan sambil mencuba setiap port yang dikatakan lubuk.

Percaya Pada Usaha dan Rezeki

Sehinggalah lebih kurang pukul 3:00 petang tiba-tiba Qamarul terkena satu sambaran yang agak kuat. Ikan Tenggiri menjelma hilang separuh badan akibat di balun dengan predator lain. Semua kembali ceria dan bersemangat. Lontaran kedua Qamarul juga mendapat hentakan tenggiri dan bermulalah pesta tenggiri di lautan luas Rompin.

Setiap lontaran di sambut dengan tenggiri bertalu-talu. Bot kami kembali ceria dengan gelak ketawa. Setiap sorang dari kami dapat merasa tarikan tenggiri. Pesta habis. Setelah di kira lebih dari 30 kali hentakan, kami berjaya naikkan 11 ekor tenggiri dan lebih dari separuh adalah dengan setup Ultralight – Sengat.

Rod: Kanicen Nix – Sengat
Main Line: 4lbs
Leader: Kanicen Nix – Prototype 11lbs
Umpan: Jig

Rod: Kanicen Nix – Sengat
Main Line: 4lbs
Leader: Kanicen Nix – Prototype 11lbs
Umpan: Jig

Umpan dan Setup

Pada awalnya Qamarul menggunakan Pintail. Apabila matahari mula menurun, jigs pula menjadi pilihannya. Jigs yang kami guna rata-rata adalah berwarna silver shinning dan teknik yang kami guna ialah vertical drop sehingga dasar dan karau selaju yang boleh dengan memastikan drag berada pada tahap yang ideal untuk menerima asakan tenggiri. Berat jigs dari 40 gram sehingga 7 gram menjadi pilihan. Untuk membuat solid hook-up kami pasang treble hook di bawah jigs supaya senang melekat. Karauan laju amat penting kerana pertama untuk mendapatkan auto hook-up tanpa perlunya membuat hentakan extra yang boleh memudaratkan rod (drag setting memainkan peranan yang penting), kedua karauan laju mengelakkan tali di gigit dengan tenggiri dan ketiga tenggiri memang suka umpan yang dikayuh laju umpama anak ikan melarikan diri. Apapun semua ini dibantu oleh penggunaan shock leader flurocarbon yang halus untuk menampung asakan secara tiba-tiba kerana flurocarbon lebih lasak menerima geseran dan ia juga invisble di dalam air. Penggunaan tali sulam lebih ideal kerana ia dapat memotong air dengan lebih cepat membolehkan aksi gewang anda lebih cantik. Sensitiviti tali braided menjadikan setiap gigitan dapat dirasai secepat yang boleh untuk anda membuat sentapan hook-up.

Teknik Yang Sesuai

Ada beberapa teknik memikat tenggiri lain yang boleh anda cuba iaitu “jig cast” dengan menggunakan jigs atau anak ikan dengan mengumpan ikan yang bermain di permukaan atau pertengahan air. Teknik ini kebiasaannya di gunakan oleh kaki tenggiri kerana ia lebih mudah untuk menjerat size yang besar. Caranya ialah melontarkan umpan sejauh yang boleh (jika ada kelompok anak-anak ikan bermain maka ia adalah kawasan yang sesuai) dan karau selaju yang boleh seperti anak ikan tengah melarikan diri.

Apa pun kelajuan dalam karauan kadang-kadang bergantung pada aktifnya ikan di sesuatu tempat. Ada tempat karauan laju tidak mendatangkan sebarang sambaran jadi jika terjadi perkara seperti ini maka cuba perlahankan dan adjust ikut kesesuaian.

Pertapaan Yang Berbaloi

Lewat petang Warden yang pada awalnya kumpaw bernanah mengambil masa bertapa. Dia kembali dengan aura yang amat membinasakan kami semua. Habis di pukul nya kami dengan asakan demi asakan. Strike demi strike. Gelak ketawa bertambah riuh sehingga tekong pun tak boleh duduk diam.

Ternyata trip ikan Ebek di gantikan dengan trip pesta ikan Tenggiri adalah sesuatu yang tidak kami jangka. Bot-bot lain pesta dengan ikan Ebek tetapi kami diberi rezeki ikan Tenggiri. Kami pulang dengan hati yang gembira.

Video-Video Trip Ikan Ebek dan Ikan Tenggiri

Video: Full Trip di Rompin

Video: Md Zam Strike Ikan Tenggiri Dengan Sengat

Video: Thava Strike Ikan Tenggiri Dengan Sengat

Jumpa Kembali

Sampai di jeti kami bahagikan hasil tangkapan, mandi dan makan bersama-sama dengan hasil tangkapan. Kami bersurai dengan harapan dapat kembali bersama ke laut untuk trip yang akan datang.

Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Exit mobile version